12 Tempat Menarik di Alor Setar (2024)
Alor Setar adalah ibu negeri Kedah, sebuah negeri yang terletak di Semenanjung Malaysia. Ia juga merupakan bandar kedua terbesar di negeri itu selepas Sungai Petani. Nama Alor Setar berasal daripada dua perkataan Melayu: “alor”, yang bermaksud sungai kecil, dan “setar”, sebuah jenis tumbuhan. Jika anda merancang untuk bercuti di bandar ini, berikut adalah antara tempat menarik di Alor Setar yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan luar negara.
1. Masjid Zahir
Masjid diraja Kedah, Masjid Zahir, adalah antara tempat menarik pertama di Alor Setar yang patut anda lawati. Ia bukan sahaja salah sebuah masjid termegah dan tertua di Malaysia, malah ia telah dipilih sebagai salah satu daripada sepuluh masjid tercantik di dunia. Rekaannya diinsipirasikan oleh Masjid Azizi Bandar Langkat, Sumatera Utara. Masjid yang dibina pada tahun 1912 ini dibina di atas tanah perkuburan para pahlawan Kedah yang terkorban mempertahankan bandar itu daripada serangan Siam ketika tahun 1821.
Walau bagaimanapun, pada hari ini, masjid yang tersergam indah ini mengagumkan orang ramai dengan seni binanya yang megah dan elegan dengan kubah hitam sebagai ciri utamanya. Rekaannya dipengaruhi oleh budaya Melayu-Islam, di mana anda akan dapat melihat lima rukun Islam yang ditunjukkan di lima kubah. Apabila anda menerokai masjid ini dari dalam, anda akan menemui ciri khas masjid ini: kubah di dalam yang dihiasi dengan ukiran ayat-ayat Al-Quran.
2. Menara Alor Setar
Sebagai salah satu tarikan pelancong yang popular untuk dikunjungi di belah utara, Menara Alor Setar juga merupakan menara telekomunikasi ketiga tertinggi di Malaysia. Pencakar langit setinggi 165.5 meter ini berfungsi sebagai menara telekomunikasi dan penyiaran yang dibina dan diuruskan oleh Telekom Malaysia Berhad untuk berkhidmat kepada negara. Bentuk menara itu mencerminkan serumpun padi, sebuah frasa yang didedikasikan untuk Kedah kerana negeri itu dikenali sebagai “jelapang padi” atau “mangkuk nasi” Malaysia. Struktur ini disokong oleh sebatang tiang besar yang melambangkan tiang seri, menggambarkan kekuatan rakyat Kedah.
Selain dari bahagian luarannya yang elegan, anda juga boleh melihat keseluruhan Alor Setar dan persekitarannya di dek pemerhatian. Terletak 88 meter di atas paras laut, anda dapat melihat setiap sudut dan ceruk bandar melalui teropong automatik yang tersedia untuk semua pengunjung di sini. Bagi mereka yang lebih berani, dua unit kotak kaca yang dibina di Dek Terbuka pada ketinggian 105 meter dapat memberi pengalaman “Star View” kepada pengunjung.
3. Muzium Padi Kedah
Muzium Padi mempunyai tiga tingkat dan keluasan sebanyak 12,000 meter persegi. Muzium ini didedikasikan untuk beras dan padi yang merupakan tanaman terpenting di dunia, dan didirikan di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Malaysia. Struktur bangunan ini dibina untuk mewakili gantang batang padi yang dituai.
Muzium ini menerangkan proses penanaman padi dan mempamerkan pelbagai jenis padi serta peralatan dan kelengkapan yang digunakan dalam penanaman padi sepanjang sejarah Malaysia dan negara-negara lain. Bagaimanapun, ciri istimewa tempat menarik di Alor Setar ini adalah lukisan mural 3D yang realistik secara 360 darjah. Terdapat juga beberapa tempat bergambar di mana anda boleh mengambil gambar dalam kostum dan juga boleh mengedit dan menambah latar belakang sawah padi pada gambar itu.
4. Gunung Keriang
Gunung Keriang ialah gunung batu kapur purba setinggi 217.92 meter yang wujud sejak zaman Permian dan konodont Triassic Awal di barat laut Semenanjung Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah sawah padi berhampiran dengan Muzium Padi Kedah. Untuk sampai ke puncak tempat menarik di Alor Setar ini, anda hanya perlu berjalan di sepanjang denai dengan pagar konkrit selama 30 minit.
Pemandangan dari puncak gunung akan mengingatkan anda mengapa Kedah dikenali sebagai “jelapang padi” Malaysia. Di sini, pendakian di awal pagi akan membolehkan anda menyaksikan kemaasanmatahari terbit ke atas sawah padi yang menghijau. Pemandangan matahari terbit dari sudut pandang di puncak gunung ini amat menakjubkan dan tidak patut dilepaskan.
5. Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, atau dikenali sebagai Tun M ialah seorang ahli politik dan doktor perubatan Malaysia yang telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama dua penggal. Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir adalah muzium yang didedikasikan untuk sumbangan dan jasa beliau, termasuk membimbing transformasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara perindustrian. Ia terletak di Jalan Kebun, tempat beliau dibesarkan.
Tempat menarik di Alor Setar ini dibahagikan kepada dua bahagian: rumah kelahiran Tun Dr Mahathir dan bangunan galeri, yang memaparkan harta benda Tun M. Muzium ini menggambarkan kehidupan beliau dari zaman kanak-kanak sehingga beliau menjadi ahli politik dan bersara kerana masalah kesihatan. Muzium ini mengekalkan daya tarikan dan suasana tahun 1960-an dan 1970-an untuk memastikan semua peminat dan pengikut beliau akan menikmati lawatan mereka.
6. Balai Nobat
Bangunan Balai Nobat yang bertingkat tiga dan berbentuk segi lapan ini berfungsi sebagai tempat penyimpanan alat muzik Nobat, alat muzik tertua dan paling bersejarah di Malaysia. Alat muzik ini dimainkan untuk mengiringi upacara istiadat seperti pertabalan, pemakaman kerabat diraja dan acara rasmi lain. Balai Nobat yang pada mulanya diperbuat daripada kayu telah diubah suai dan dipulihkan oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah menggunakan batu dan logam.
7. Tokong Wat Nikrodharam
Salah satu tempat menarik di Alor Setar yang paling penting ialah tokong silang budaya, Wat Nikrodharam, yang terletak di antara Telok Wanjah dan Stadium Jalan. Seni bina tokong ini menampilkan unsur reka bentuk Thai bersama beberapa motif Cina. Kedua-dua tradisi Buddha Theravada dan Mahayana diamalkan dan dihormati di sini.
Masa terbaik untuk melawat tokong ini adalah semasa Hari Wesak, ketika bulan purnama di bulan Vaisakha. Tokong ini akan dipenuhi dengan penganut dari seluruh negara yang membuat ziarah tahunan untuk beribadat dan berdoa untuk kebahagiaan, serta untuk menyampaikan rasa syukur mereka kepada para dewa. Jika budaya ialah minat anda, tokong ini harus berada dalam senarai anda!
8. Masjid Al-Bukhary
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, ahli perniagaan tempatan yang mengaut kekayaan dalam sektor pengangkutan, membina Masjid Al-Bukhary sebagai salah satu daripada kebajikan beliau. Ia terletak berhampiran Universiti Antarabangsa Albukhary dan berkongsi kawasan dengan Kompleks Al-Bukhary, sebuah pusat Islam yang terkemuka.
Umat Islam boleh mengunjungi masjid itu untuk solat dan mendengar khutbah serta ceramah agama. Bagi yang bukan Islam, mereka dialu-alukan untuk bergambar di salah satu tempat menarik di Alor Setar yang paling indah asalkan adab berpakaian dipatuhi.
9. Lagun Biru
Jika anda sedang mencari tempat menarik di Alor Setar yang popular untuk mengambil gambar yang cantik, anda boleh pergi ke Tasik Biru, atau dikenali sebagai Blue Lagoon. Air tasik ini berwarna biru disebabkan oleh sistem pengairan utama sawah padi yang berdekatan. Warna tasik ini berubah dari biru ke sedikit kelabu, bergantung pada masa dan cuaca pada hari tersebut.
Pada hari yang mendung, tasik akan kelihatan kelabu manakala pada hari yang cerah, biru terang. Tambahan pula, pantulan langit boleh ditangkap dengan sempurna jika anda meletakkan kamera pada sudut yang betul. Jadi, pastikan anda menyemak aplikasi cuaca sebelum datang ke sini supaya anda dapat mengambil gambar tasik dalam warna pilihan anda.
10. Menara Jam Besar
Juga dibina pada tahun 1912, menara jam ini dibina untuk memberitahu penduduk yang tinggal di kawasan ini bahawa ia adalah waktu solat. Kini, menara jam ini masih beroperasi sebagai penjaga masa, tetapi ia juga merupakan peringatan masa lalu kerana ia merupakan salah satu tempat menarik di Kedah yang tertua. Ia juga menarik untuk melihat bagaimana bangunan ini menggabungkan seni bina Islam dan kolonial dalam satu bangunan.
11. Muzium Diraja Kedah
Dengan mengunjungi Muzium Diraja Kedah, anda akan dapat melihat dan mempelajari bagaimana seorang Sultan tinggal di sebalik pintu tertutup. Di tempat ini, ia menempatkan 2,000 artifak, dokumentasi dan juga harta benda Sultan Abdul Halim (bekas Sultan Kedah) dan isterinya. Sekiranya anda sentiasa ingin mengetahui bagaimana Sultan atau Raja hidup di Malaysia, ini adalah tempat yang sesuai untuk bermula.
12. Chinatown Kedah
Pada waktu petang, anda boleh membuat perjalanan ke Chinatown Kedah. Bukan sahaja tempat ini akan membawa anda kembali ke masa lalu, anda juga akan dapat menyaksikan bagaimana penduduk bandar menjaga kedai mereka yang kelihatan vintaj. Anda boleh berehat di beberapa kafe di sekitar kawasan ini kerana dikatakan bahawa mereka menyajikan antara kopi terbaik di bandar.
Dengan begitu banyak perkara untuk dilakukan di bandar ini, Alor Setar adalah sebuah bandar yang indah dengan penduduk yang mesra. Walaupun ia tidak begitu terkenal seperti bandar-bandar Malaysia yang lain, ia mengekalkan keindahan luar bandar dan dialek Melayu utara. Bukan itu sahaja, budaya mereka dipelihara dalam bentuk mercu tanda, sejarah mereka dipersembahkan di muzium dan alam semula jadi boleh dilihat di mana-mana. Jadi ambillah peluang ini dan kunjungi pelbagai tempat menarik di Alor Setar yang semula jadi dan bersejarah.