25 Tempat Menarik di Shanghai (2024)

shanghai

Sebagai salah satu bandar paling canggih di Asia, Shanghai menggabungkan sentuhan kontemporari dengan peninggalan sejarah semua dalam satu tempat. Bandar ini memang luar biasa, dipenuhi dengan unsur-unsur yang menjadikannya pilihan terbaik untuk pelawat pertama kali ke China.

Walaubagaimanapun, dengan begitu banyak tarikan di bandar ini, ia memang sukar untuk mengunjungi semua tempat menarik di Shanghai dalam satu lawatan. Di bawah adalah senarai tempat menarik terbaik di Shanghai yang anda patut kunjungi.

1. Nanjing Lu

Nanjing Lu

Membeli-belah di Shanghai adalah aktivit yang mesti dibuat dan tiada tempat yang lebih baik dari “Nanjing Lu” (“lu” bermaksud “jalan” dalam bahasa Mandarin). Jalan membeli-belah ini menyerupai “Times Square” di New York (Amerika Syarikat) di haluan timur, manakala di mana haluan barat terdapat banyak tempat membeli-belah mewah, hotel mewah dan bangunan pejabat.

Tidak kira jika anda berjaya membeli apa-apa atau tidak, meluangkan masa di sini pada waktu tengah hari adalah antara cara-cara terbaik untuk menikmati hari anda.

2. The Bund

The Bund

Jika anda pernah meluangkan masa merenung gambar Shanghai sebelum ini, anda akan mengenali “The Bund” serta-merta. Dikenali sebagai “Waitan” dalam bahasa Cina, ianya tempat yang terkenal dengan bangunan yang datang dalam pelbagai gaya seni bina (termasuk gaya Gothic, baroque dan neoklasik) yang terletak di sepanjang Sungai Huangpu. The Bund juga sering kali dirujuk sebagai “muzium bangunan”.

Di sekitar tempat menarik di Shanghai ini, anda akan menemui hidangan kelas atas dalam pelbagai gaya masakan dan tempat di mana orang kaya meluangkan masa mereka. Jika anda mempunyai bajet, anda patut cuba menginapi di hotel-hotel mewah di sini kerana pengalaman 5-bintang di sini memang tiada tolok bandingan. Tetapi jika tidak, anda masih boleh bersiar-siar di lobi sambil membayangkan kehidupan orang kaya.

Berjalan-jalan di sepanjang sungai, anda juga dapat menghayati bangunan yang besar dan tinggi yang seolah-olah menyentuh awan dan melihat bot berlayar. Ianya memang permandangan yang amat indah, tidak kira siang atau malam.

3. Sungai Huangpu

Huangpu River

Semasa di “The Bund”, aktiviti lain yang anda patut cuba ialah menyertai pelayaran kapal persiaran untuk melihat dengan lebih lanjut laluan air yang membahagikan bandar ini. Di barat adalah bahagian yang lebih tua, juga dikenali sebagai pusat bandar, manakala di sebelah timur, Pudong, adalah bahagian yang lebih baru. Dari perspektif kapal persiaran, anda akan dapat melihat dengan lebih banyak lagi.

4. Menara Oriental Pearl

Oriental Pearl Tower

Tempat menarik di Shanghai yang ikonik ini dibina di Pudong pada tahun 1994 dan telah menjadi mercu tanda Shanghai yang terkenal sejak itu. Reka bentuk bangunan itu adalah sangat unik dengan tiga sfera atau mutiara yang menonjol. Naik ke atas dek pengamatannya dan lihat Shanghai dari tempat yang tinggi untuk pemandangan yang menakjubkan. Di pangkalan menara ini pula, terdapat muzium tentang sejarah Shanghai sebelum tahun 1949, manakala di tingkat atas, anda boleh mendapat koktel sambil merasai sensasi berada di atas dunia.

5. Pencakar Langit Pudong

Pudong Skyscrapers

Sementara anda berada dekat dengan Menara Oriental Pearl, jangan terlepas daripada mengunjungi pencakar langit lain yang berdekatan. Dari Grand Hyatt yang membolehkan anda mendapat pemandangan yang menakjubkan dan bar yang unik, hingga Menara Jin Mao yang mendapat inspirasinya daripada gaya pagoda kuil Buddha.

6. Akuarium Laut Shanghai

Shanghai Ocean Aquarium

Jika anda sedang mencari sesuatu yang lebih kepada alam semula jadi selepas menjelajah bangunan-bangunan pencakar langit, anda pasti perlu mengunjungi Akuarium Laut Shanghai. Terletak dekat dengan Menara Oriental Pearl dan Menara Jin Mao, tempat menarik di Shanghai ini adalah salah satu akuarium yang terbesar di dunia. Bukan sahaja itu, anda boleh melihat lebih daripada 300 jenis dan 15,000 hidupan laut dengan berjalan melalui terowong air yang terpanjang di dunia (155 meter).

Seolah-olah itu tidak mencukupi, selepas anda selesai menerokai akuarium, anda boleh memilih untuk makan di restoran yang boleh muat 300 orang dalam bangunan berbentuk piramid ini.

7. Taman Yu

Yu Garden

Keajaiban moden di Shanghai tidak dapat dinafikan adalah sangat menakjubkan, tetapi peluang untuk melihat bahagian lama Shanghai juga tidak patut dilepaskan. Pada tahun 1559, Zhang Nanyang membina Taman Yu untuk Dinasti Ming. Ia merupakan tempat di mana pemberontakan terhadap penjajah Perancis dirancang pada tahun 1800-an, tetapi sekarang, ia kekal sebagai sebuah oasis yang damai di tengah-tengah kota, dengan kolam yang penuh dengan ikan, taman batu dan buluh.

Sebuah muzium kecil di tapak ini boleh memberikan anda cerita penuh tentang sejarah taman berharga ini.

8. Kuil Jed Buddha

Jade Buddha Temple

Sejarah Cina telah lama wujud sejak 3,000 tahun lalu. Dengan banyak kuil yang terletak di seluruh negara, ia memang mengejutkan untuk mengetahui tentang Kuil Jed Buddha yang belum lagi berusia 100 tahun. Walau bagaimanapun, bangunan ini selamat daripada Revolusi Kebudayaan disebabkan oleh kepintaran sami untuk melekat gambar Mao Zedong di luar kuil di mana “Pengawal Merah” tidak dapat memusnahkannya.

Walaupun pelajaran sejarah China di sini memukau, tarikan terbesar adalah jed putih Buddha yang besar yang dikelilingi oleh permata. Jed putih ini berasal dari Burma dan adalah lebih daripada 6 kaki tinggi.

9. Zoo Shanghai

Shanghai Zoo

Di China, hak binatang kurang diberi perhatian berbanding negara lain. Tetapi di Shanghai, anda akan gembira untuk mengetahui bahawa Zoo Shanghai ini sangat bersih, baik, dan haiwannya tidak terperangkap dalam sangkar kecil. Ia adalah tempat yang bagus untuk bersiar-siar tidak kira anda mempunyai anak atau tidak. Oh, dan terdapat panda di Zoo ini! Ia lebih sesak pada hujung minggu dan semasa cuti kebangsaan China jadi anda dinasihatkan untuk melawat pada hari biasa.

10. Kuil Longhua

Longhua Temple

Pada tahun 1987, Empayar Matahari berkongsi dan menceritakan budaya China yang kaya kepada dunia. Sekirannya anda pernah melihatnya, anda akan ingat yang anda pernah melihat Kuil Longhua. Kuil ini adalah salah satu tempat menarik utama di Shanghai dan kuil terbesar. Pada malam tahun baru, mereka akan memukul loceng tembaga yang besar di sana. Dengan 5 buah dewan dan 2 menara, terdapat banyak tempat untuk diterokai.

11. Kediaman Memorial Soong Qing-Ling

Soong Qing-Ling’s Memorial Residence

Suatu ketika dahulu, seorang wanita bernama Soong Qing-Ling telah berkahwin dengan Sun Yat-Sen, seorang pemimpin kebangsaan yang hampir 30 tahun seniornya. Sekitar satu dekad kemudiannya, Sun Yat-Sen meninggal dunia dan Soong Qing-Ling sejurus beralih kepada komunisme. Dia menggunakan rumah ini sebagai rumah kediamannya dari tahun 1948 hingga 1963 dan sekarang, sebuah muzium kecil dibina di sebelah rumah kediamannya. Anda dapat memahami dengan lebih mendalam salah satu daripada banyak kisah menarik China yang menjadikannya bandar hari ini di sini.

12. Dataran Rakyat

People’s Square

Jika anda tertarik dan ingin memahami cara hidup rakyat Shanghai dengan lebih lanjut lagi, Dataran Rakyat adalah salah satu tempat menarik di Shanghai yang wajib dilawati. Ini merupakan tempat riadah popular di Shanghai. Tidak ada apa yang lebih menarik daripada melihat bagaimana budaya lain menjalani kehidupan harian mereka, dan di sinilah anda akan mendapat kehidupan Shanghai yang paling sahih.

Orang tua duduk di sini dan berkongsi teh sementara kumpulan-kumpulan lain yang berlainan umur melatih tai chi atau menari dalam kumpulan. Di sini terdapat juga satu taman hiburan kecil yang kanak-kanak tentu suka. Dataran ini juga salah satu tempat yang amat sibuk pada hujung minggu jadi anda harus bersedia untuk orang ramai.

13. Taman Rakyat

Hanya bersebelahan dengan Dataran Rakyat, Taman Rakyat juga merupakan salah satu tempat menarik di Shanghai yang anda patut lawati terutamanya pada hari yang indah. Di sini, terdapat bunga cantik dan kolam yang tenang – tempat yang bagus untuk melepaskan diri daripada kehidupan kota yang sibuk.

Sebagai pelawat di kota ini, anda patut melawati bahagian taman “pasaran perkahwinan”. Ibu bapa akan datang dalam keadaan terdesak untuk mengkahwinkan anak-anak mereka yang dewasa. Bahagian taman ini memang sibuk dan bising dengan teriakan ibu bapa yang memuji anak masing-masing.

14. Muzium Shanghai

Shanghai Museum

Bersebelahan dengan Dataran Rakyat dan Taman Rakyat, anda akan menemui Muzium Shanghai, satu lagi tempat menarik di Shanghai yang wajib dilawati. Ia adalah mustahil untuk terlepas kerana ia menyerupai sebuah perkakas purba untuk memasak. Walaupun di luar nampak biasa, di dalam, anda mempunyai peluang untuk menikmati banyak pameran karya seni China yang mengagumkan.

Lukisan, seramik, ukiran, kaligrafi dan banyak lagi, termasuk perabot dan barang kemas dari dinasti Ming dan Qing terdapat di sini. Jangan lupa untuk melawat galeri pakaian jika anda seorang pencinta fesyen!

15. Tianzifang

Tianzifang

Juga dikenali sebagai “Tianzi Fang”, kawasan pelancongan ini dipenuhi dengan seni dan kraf tangan yang boleh didapati di Konsesi Perancis. Tempat yang suatu ketika dahulu, dipenuhi dengan bangunan lama dengan seni reka Eropah, kini dipenuhi dengan butik, galeri, bar dan restoran yang menakjubkan. Walaupun begitu, kebanyakan seni bina di sini dipelihara dengan baik untuk menunjukkan sifat tersendiri dan daya tarikan dari zaman dahulu.

Tempat menarik di Shanghai ini adalah tempat yang indah untuk diterokai pada waktu malam di mana anda boleh menikmati beberapa makanan terbaik di bandar, mendengar muzik secara langsung, menemui artis berbakat, dan membeli hadiah unik.

16. Taman Fuxing

Fuxing Park

Semasa berada di Konsesi Perancis, anda patut juga melawati Taman Fuxing. Pada tahun 1909 bila ia mula ditubuhkan, ia merupakan taman terbesar di Shanghai. Walaupun ia bukan lagi yang terbesar, ia masih merupakan salah satu tempat yang terbaik di Shanghai untuk dilawati untuk bersiar-siar.

Di bahagian utara taman ini, terdapat sebuah patung Karl Marx dan Friedrich Engels yang dibina pada tahun 1985 sebagai peringatan ulang tahun ke-90 kematian Engels. Bunga-bunga di sini, terutamanya taman bunga mawar memang cantik menawan. Kanak-kanak juga akan menyukai karusel dan kereta bumper yang terletak di sini.

17. St. Ignatius Cathedral

St. Ignatius Cathedral

Katedral St. Ignatius terletak di bahagian paling huru-hara di Shanghai tetapi di dalam, ia adalah tempat yang aman dan tenang. Ia dibuka pada tahun 1910 dan sangat terjejas oleh Revolusi Kebudayaan. Pengawal-Pengawal Merah memusnahkan panel tingkap kacanya yang berwarna-warni dan selama satu dekad, ia dijadikan sebagai gudang gandum. Pada tahun 1980-an, ia telah dipulihkan seperti dahulu. Pengetahun tentang sejarah tempat ini memberikan perasaan yang teramat haru dan kagum apabila dilawati.

18. Muzium Seni China

China Art Museum

Pencinta seni tidak harus terlepas daripada melawat muzium ini, juga dikenali sebagai Istana Seni China, atau dengan nama aslinya: Museum Seni Shanghai. Tidak kira apa yang anda hendak panggil tempat tempat ini, anda akan mendapati yang muzium ini pernah berkhidmat sebagai bekas Paviliun Ekspo China 2010. Dengan pintu masuk merah yang menakjubkan, ia mempamerkan karya pelukis dan seni ukir yang terkenal dari China seperti He Tianjian, Guan Liang, Wu Guanzhong, dan Hua Tianyou.

19. Kuil Tuhan Kota Shanghai

City God Temple of Shanghai

Kuil ini yang terletak di bahagian lama Shanghai adalah kaya dengan sejarah. Ia didedikasikan kepada tiga tokoh Cina yang dianggap sebagai tuhan di bandar ini suatu ketika dahulu. Ia merupakan tapak yang terkenal semasa Dinasti Qing, tetapi ianya ditutup dan digunakan sebagai kedai barang kemas semasa Revolusi Kebudayaan. Pada tahun 1951, ia diserahkan kepada Persatuan Taoisme Shanghai dan dijadikan sebagai pusat Taoisme. Kemudian pada tahun 1994, ia telah dipulihkan dan digunakan semula sebagai kuil, kali ini dengan imam Taoisme.

20. Shanghai Disney Resort

Shanghai Disney Resort

Dibuka pada tahun 2016, Shanghai Disney Resort adalah taman Disney kedua di China sejak pembukaan hartanah di Hong Kong. Ia memang menakjubkan untuk melihat dua hotel bertema dan Disney dengan seni reka yang berunsur Asia. Sekiranya anda menyukai Disney, anda tidak boleh melepaskan peluang untuk melawat tempat menarik ini dan menerokai Mickey Avenue yang penuh dengan sesi pertemuan watak-watak Disney dan melihat kedai dan cenderahati gaya “Main Street”.

Terdapat banyan tunggangan dan tarikan yang mengujakan, seperti “Pirates of the Caribbean”, “the Seven Dwarfs Mine Train”, “Dumbo’s carousel”, dan pagar sesat “Alice in Wonderland”. Dengan sentuhan taman Cina menghiasi seluruh Disney, ia adalah cara yang luar biasa untuk melawat Disney.

21. Muzium Sains dan Teknologi Shanghai

Shanghai Science and Technology Museum

Jika anda suka komputer, robotik, angkasa lepas dan lain-lain benda yang berkaitan dengan sains, maka anda mesti melawat tempat menarik di Shanghai ini. Terletak di Pudong, berdekatan dengan “Century Park”, Muzium Sains dan Teknologi Shanghai ini adalah salah satu muzium yang paling popular di China. Tingkat di dalam bangunan ini (terdiri daripada ruang bawah tanah dan empat tingkat di atas tanah) yang naik dalam lingkaran, mewakili kemajuan saintifik.

22. Stesen Janakuasa Seni

Power Station of Art

Sekiranya anda suka melawat bangunan moden tetapi dengan sentuhan sejarah padanya, Stesen Janakuasa Seni akan menarik perhatian anda. Ditubuhkan pada tahun 2012, tarikan Shanghai ini menempatkan muzium seni kontemporari di bekas stesen janakuasa berdekatan Sungai Huangpu, dengan inspirasinya datang dari “Tate Modern” yang terkenal di London. Di sini, anda dapat menghayati karya kreatif para seniman moden yang berkongsi tentang dunia ini melalui seni, selain daripada beberapa pameran seni terbesar di bandar ini yang dianjurkan di sini.

23. Taman Lu Xun

Lu Xun Park

Terletak di belakang Stadium Bola Sepak Hongkou ialah Lu Xun Park, salah satu taman terbaik di Shanghai. Kawasan yang dikelilingi alam semula jadi ini juga merupakan taman tertua di Shanghai, yang pada asalnya dibina pada penghujung tahun 1890 oleh pereka taman Inggeris, Donald MacGregor, mengambil inspirasi dari sebuah taman di Glasgow. Ia kemudiannya dinamakan semula kepada Lu Xun Park sebagai dedikasi kepada Lu Xun, seorang penulis terkenal dari awal abad ke-20. Patung gangsa beliau dan makamnya dengan tulisan oleh Mao Zedong (bapa pengasas Republik Rakyat China) boleh didapati di sini.

Selain dari taman ini ialah tempat bersejarah, anda juga boleh menghabiskan masa berdekatan dengan alam semula jadi di sini. Semasa musim bunga dan musim panas, ia menjadi tempat yang sangat indah dan fotogenik apabila pokok-pokok di sini bertumbuh bersebelahan dengan tasik buatan manusia yang besar di tengah-tengah taman ini. Terdapat juga bot yang anda boleh sewa untuk bersiar-siar di tasik.

24. Kuil Jing’an

Jing’an Temple

Terletak di dalam metropolitan moden terbesar di China adalah sebuah tempat yang telah berdiri menghadapi ujian masa. Kuil Jing’an asal dibina pada tahun Masihi 1216 dan telah mengalami banyak pemindahan dan restrukturisasi sehingga tahun 2010. Kuil ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dan menghargai seni bina purba serta pelbagai artifak keagamaan yang terdapat di sini seperti Patung Perak Buddha setinggi 8.8 meter, Patung Sakyamuni putih setinggi 3.8 meter, patung Guan Yin kayu, dan banyak lagi.

25. Qibao

Qibao

“Qibao ialah sebuah bandar purba yang terletak 18 kilometer dari bandar. Terkenal dengan landskap tradisional dan masakan Shanghai yang asli, ini adalah cara terbaik untuk memahami budaya dan adat istiadatnya dalam suasana santai. Ia adalah tempat yang ideal untuk berehat daripada hiruk-pikuk bandar Shanghai. Anda akan dapat melihat banyak kedai yang menjual barang kraf lama, pena khat, dan snek tradisional; yang menjadikannya cenderamata yang sempurna untuk dibawa pulang. Memandangkan tempat ini juga terkenal dengan makanan jalanan, anda mesti mencuba Nasi Pisang dalam Tiub Bambu, Tofu Busuk, dan Daging Kambing dengan Wain Beras.

Terdapat banyak tempat menarik di Shanghai tetapi jika masa adalah faktor, anda boleh menaiki bas pelancongan “Hop-On, Hop-Off”. Anda masih boleh menghayati permandangan Shanghai pada kelajuan yang sesuai untuk anda. Ia adalah sesuai untuk perjalanan singkat.

Satu perkara terakhir yang anda perlu ketahui ialah makanan di Shanghai benar-benar berlainan. Pastikan anda melawat restoran-restoran Shanghai yang tradisional. Pergi ke restoran dengan barisan yang paling panjang kerana ia juga bermaksud mereka adalah antara yang terbaik. Salah satu benda yang anda tidak harus terlepas daripada mencuba ialah “xiaolong bao” atau dumpling yang berisi sup.

Walaupun Shanghai adalah sedikit mahal, terutamanya “The Bund”, tetapi ianya adalah berbaloi untuk merasai kehidupan golongan atas di sini. Lagipun, di bandar yang menakjubkan seperti ini, perkara terbaik yang anda boleh buat ialah menikmati segala kehebatannya.