20 Tempat Menarik di Beijing (2024)

beijing

Beijing (dahulunya dikenali sebagai Peking) merupakan ibu kota dan juga pusat politik negara China. Disebabkan oleh banyak tempat menarik yang terkenal dan bersejarah, Beijing menjadi tempat perhentian pertama untuk banyak pelawat ke negara China. Semua orang mengenali Tembok Besar China, tetapi hanya segelintir orang sahaja yang mengetahui tentang tempat menarik di Beijing yang lain yang harus dikunjungi.

Ia memang senang mencari penerbangan ke negara ini tidak kira di mana anda berada. Sebelum menjelajahi bahagian lain China yang menakjubkan, kami mencadangkan supaya anda meluangkan masa untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di Beijing dan menyantap makanannya yang merupakan salah satu juadah terbaik di negara ini. Terdapat banyak benda yang boleh dilakukan dan dihayati di kota yang besar dan bersejarah ini. Berikutlah senarai cadangan kami tentang 17 tempat paling menarik di Beijing yang anda patut lawati.

1. Tembok Besar China

Great Wall of China

Anda akan mendapati bahawa Tembok Besar China sentiasa muncul di dalam senarai tempat menarik di Beijing yang anda patut lawati dan tanpanya, lawatan anda ke Beijing akan menjadi tidak lengkap. Dengan pemanduan hanya kira-kira satu jam dari pusat bandar, anda akan dapat menghayati pemandangan tembok yang panjang dan besar ini. Perasaan berdiri di tapak bersejarah ini sambil menghayati pemandangan gunung-ganang yang indah memang tiada tolok bandingannya.

Untuk pengalaman yang lebih lengkap, anda dinasihatkan untuk menyertai kumpulan pelancongan Bahasa Inggeris yang boleh dipercayai. Kumpulan ini juga mungkin akan memasukan tempat-tempat menarik lain dalam senarai ini ke dalam perjalanan anda. Walau bagaimanapun, anda patut mengelak daripada mengunjungi tempat ini semasa cuti umum China kerana banyak orang akan berada di sana.

2. Kota Larangan

Forbidden City

Juga dikenali sebagai Istana Imperial, tempat menarik di Beijing ini dibangunkan pada abad ke-13 ketika pemerintahan Dinasti Yuan. Tidak lama kemudian, seni bina baru ditambahkan kepada bangunan ini oleh Dinasti Ming, menjadikan tempat ini lebih mengagumkan. Anda akan meluangkan banyak masa untuk menerokai tempat ini, tetapi anda tidak akan berasa yang anda telah menghabiskan banyak masa di sini kerana Kota Larangan ini begitu mengagumkan.

Anda juga patut melawati Jambatan Sungai Emas, Gerbang Meridian, dan Istana Kehormatan Syurgawi semasa berada di sini. Dan jika anda tertanya-tanya apa yang dilarangkan di Kota Larangan ini, warganegara biasa tidak dibenarkan masuk ke dalam tempat ini.

3. Dataran Tiananmen

Tiananmen Square

Nama Dataran Tiananmen juga bermaksud “Dataran Damai Syurga” selepas diterjemahkan. Dataran ini direka untuk menampung sejuta orang dan dianggap sebagai pusat komunis China. Anda patut menumpukan perhatian anda pada Gerbang Tiananmen, Makam Mao Zedong dan Tugu Wira Rakyat yang mempunyai ketinggian 38 meter yang dibuat daripada 17,000 keping marmar dan granit apabila anda melawat tempat ini.

4. Tokong Syurga

Temple of Heaven

Dalam Tokong Syurga ini, anda akan dapat melihat dan menghayati antara bangunan yang paling suci di seluruh Beijing. Tokong yang menawan ini dicipta untuk melambangkan langit dan bumi. Dibina pada tahun 1420, Maharaja akan menawarkan korban dan berdoa di mezbah Surgawi untuk tuaian baik negara. Tokong Syurga juga memiliki beberapa tarikan menarik, dan salah satunya ialah “Dinding Gema” yang boleh mengemakan bisikan yang paling hening.

5. Zoo Beijing

Beijing Zoo

Zoo di China tidak selalunya bersih atau memelihara haiwan dengan baik, tetapi Zoo Beijing merupakan salah satu zoo yang berbeza. Ia dibina pada tahun 1906, sejurus menjadikannya salah satu zoo tertua di China. Di zoo ini, anda boleh melihat banyak spesies yang jarang dilihat yang berasal dari China termasuk harimau salji asli dan kegemaran orang ramai, beruang panda! Di Zoo Beijing ini juga terdapat haiwan dari seluruh dunia dan akuarium yang cukup hebat. Lawatilah tempat menarik di Beijing ini pada hari kerja untuk pengalaman yang lebih menyenangkan dan kurang sesak.

6. Taman Beihai

Beihai Park

Apabila anda melawat Istana Imperial, memang merupakan pekara biasa untuk mengunjungi Taman Beihai juga. Tempat menarik di Beijing ini dikenali sebagai salah satu taman imperial tertua di bandar Beijing. Ia memang menakjubkan untuk mengetahui bahawa tempat ini telah wujud sejak abad ke-10. Dewan Pencerahan merupakan tempat di mana anda akan dapat melihat patung Buddha besar yang diukir dari satu batu jed putih yang besar. Terdapat banyak tarikan lain yang patut dilawati di tempat ini termasuklah “Round Fort”, kediaman Song Qingling (yang juga mempunyai sebuah rumah yang terkenal di Shanghai), dan Pagoda Putih di “Island of Exquisite Jade”.

7. Tokong Yonghe

Yonghe Temple

Tokong Yonghe atau lebih dikenali sebagai Tokong Lama mungkin merupakan salah satu tokong yang dipelihara dengan baik dan terindah di seluruh Beijing. Dan anda mungkin tidak tahu bahawa selain daripada sejarah agamanya, Tokong Yonghe juga mempunyai sejarah politik. Tokong ini memberikan agama Tibet pengiktirafan rasmi di negara ini.

Tokong ini juga terkenal dengan karya seni yang menakjubkan dan mempunyai patung Buddha di “Hall of the Kings of Heaven” (Dewan Raja-Raja Langit) yang menjadikannya salah satu tempat terbaik untuk melawat di Beijing. Banyak lagi benda boleh dilihat di “Pavilion Four Tongued Stele” dan “Pavilion Empat Ribu Kebahagiaan”, bangunan terbesar di Tokong Yonghe.

8. Istana Musim Panas

Summer Palace

Istana Musim Panas telah wujud semenjak abad ke-12 dan ia merupakan salah satu tempat menarik di Beijing yang wajib dilawati selain daripada Tembok Besar China. Pemandangan di sini benar-benar menakjubkan dengan tamannya yang indah dan rapi, dan satu tasik buatan manusia yang luas yang berusia lebih dari 700 tahun. Di Dewan Kesejahteraan dan Umur Panjang pula, anda akan dapat melihat sebuah takhta dengan seni rekanya yang cantik dan terperinci, dan juga halaman yang menawan yang mencerminkan nama dewan ini.

“The Great Theatre” juga menawarkan persembahan dan muzik tradisional Cina yang anda boleh menikmati. Di tempat ini juga, anda boleh melayar dalam feri bertema naga sejurus menjadikan pengalaman anda di sini luar biasa.

9. Stadium Nasional Beijing

Beijing National Stadium

Jika anda berasa yang anda pernah melihat tempat menarik di Beijing ini, ia disebabkan oleh Sukan Olimpik Musim Panas yang dilangsungkan di sini pada tahun 2008. Walaupun sukan olimpik sudah lama berakhir, tempat ini masih digunakan untuk acara-acara besar seperti persembahan konsert, opera dan acara sukan. Pada musim sejuk pula, tempat ini diubahsuaikan untuk menjadi ski dalaman binaan manusia terbesar di dunia.

Terletak berhampiran Stadium Nasional Beijing, “Water Cube” ialah tempat yang patut dikunjungi pada waktu walam untuk pertunjunkan cahayanya yang membuat bangunan itu kelihatan seperti air batu gergasi. Sebahagian daripada bangunan ini juga diubah suai menjadi taman air, menjadikannya tempat yang sesuai untuk aktiviti sepanjang tahun.

10. Tokong Fayuan

Fayuan Temple

Tokong Fayuan (juga dikenali sebagai Tokong Sumber Undang-Undang) dibangunkan pada tahun AD 645! Di sini, anda akan dapat melihat prasasti batu purba yang telah wujud sejak abad ke-7. Tokong ini juga telah menyaksikan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Beijing. Ia merupakan tempat di mana Maharaja Huizong dikurungkan sebagai banduan pada abad ke-12.

Hari ini, ia berfungsi sebagai tempat ibadah untuk Akademi Buddha. Apabila anda melawat tempat ini, jangan terlepas peluang untuk melihat menara loceng dan gendang serta patung-patung di halaman Dewan Raja-Raja Syurga.

11. Muzium Capital

Beijing Capital Museum

Muzium Capital boleh dikatakan sebagai salah satu tempat paling menarik di Beijing, dan mungkin muzium yang paling mengagumkan di seluruh negara. Muzium Capital mempamerkan porselin dan gangsa purba, kaligrafi tradisional dan peninggalan pusaka bersejarah yang luar biasa dari masa silam. Kebanyakan pusaka ini berasal dari dan sekitar Beijing. Khususnya, “stele” Maharaja Qian Long yang besar yang merupakan salah satu tarikan yang anda harus mengamati apabila berada sini.

Walaupun muzium ini hanya wujud sejak 1981, ia merupakan salah satu tempat terbaik untuk dilawati di Beijing untuk memahami budaya dan sejarah Cina dengan lebih mendalam.

12. Balai Cerap Purba Beijing

Beijing Ancient Observatory

Terletak di bahagian timur bandar, bangunan gaya kubu ini dibina pada tahun 1442 dan masih dalam perkhidmatan sehingga tahun 1929. Tempat menarik di Beijing ini merupakan salah satu tarikan jenis ini yang paling tua di seluruh dunia. Kemudahan pra-teleskopik purba di sini memang memukaukan tetapi apa yang paling menakjubkan ialah seni reka abad-18 yang menunjukkan pengetahuan mereka tentang planet-planet pada masa itu.

Tidak patut terlepas dalam lawatan anda juga adalah alat-alat gangsa yang besar yang boleh dijumpai di sini dan walaupun pengetahuan kita tentang bintang dan planet-planet kini lebih luas berbanding masa silam tetapi ia masih mengagumkan untuk melihat apa yang diketahui pada masa itu.

13. Taman Jingshan

Jingshan Park

Apabila anda melawat Istana Imperial, lawatilah Taman Jingshan (juga dikenali sebagai “Coal Hill Park”) di seberang Pintu Utara. Di sini anda akan dapat melihat beberapa tempat menarik dan indah untuk mengambil gambar yang akan anda simpan selama-lamanya. Tempat ini dinamakan sempena arang batu yang disimpan di sini untuk maharaja-maharaja Dinasti Ming. Kini, ia menjadi tempat yang dihiasi dengan taman yang indah dan laluan pejalan kaki yang cantik walaupun benda yang wajib dihayati adalah pokok akasia tua yang masih wujud hingga ke hari ini. Tempat ini memang cantik tetapi mengerunkan kerana ia dikatakan bahawa maharaja Ming terakhir menggantung dirinya sendiri di sini pada tahun 1644.

14. Tokong Beijing Confucius

Beijing Temple of Confucius

Berhampiran dengan Tokong Lama, terletaknya Tokong Beijing Confucius yang seperti namanya, didedikasikan kepada pengajaran Confucius. Tempat menarik di Beijing ini merupakan salah satu tokong yang paling terkenal di China dan pernah menganjurkan banyak upacara atas nama Confucius. Di halaman tokong ini, terdapat 198 “steles” yang diukir dengan nama-nama sarjana Confucian yang telah lulus peperiksaan tetapi tradisi ini berhenti apabila peperiksaan kerajaan dihapuskan pada tahun 1904. Di “Hall of Great Achievements” pula, terdapat banyak tokong yang didedikasikan kepada Confucius dan anak muridnya serta ahli falsafah Confucius yang lain.

15. Muzium Negara China

National Museum of China

Muzium Negara China yang besar ini terletak di seberang Dataran Tiananmen. Tempat ini dikatakan mempunyai pengunjung kedua banyak di dunia selepas muzium seni Louvre di Paris. Muzium ini masih dianggap baru memandangkan ianya hanya dibuka kepada orang awam pada tahun 2003. Selepas pengubahsuaian pada tahun 2011, ia mempunyai tempat untuk pelawat belajar tentang sejarah China dari pameran kuno bersejarah yang tertumpu pada budaya dan seni Cina.

Dengan 48 dewan pameran di muzium ini, ia amat mudah untuk anda menghabiskan sepanjang hari mengamati artifek yang dipamerkan di sini. Anda boleh melihat “Simuwu Ding” yang merupakan alat gangsa purba yang paling berat di dunia, serta emas, jed, dan kepingan seramik dari pelbagai dinasti.

16. Daerah Seni Dashanzi

Dashanzi Art District

Juga dikenali sebagai Daerah Seni 798, ianya menawarkan pelawat pengalaman yang berbeza dengan komuniti seni yang menarik dan unik. Dahulunya, tempat ini merupakan kompleks pembuatan senjata tentera, tetapi sekarang ia merupakan tempat menarik di Beijing yang aman damai dan penuh dengan galeri seni, studio, dan juga ruang-ruang pameran seniman di Beijing. Selain seni, tempat ini juga mempunyai kedai-kedai butik buku, fesyen serta beberapa kafe dan restoran yang istimewa yang anda boleh menyantap sambil berehat.

17. Istana Musim Panas Lama

Old Summer Palace

Istana Musim Panas Lama ini merupakan bekas kediaman Maharaja Qianlong yang patut anda lawati untuk mempelajari sejarah China walaupun sebahagian besar tempat ini telah dihancurkan. Dalam keadaan asalnya, istana ini merupakan contoh seni bina Cina yang agung pada masa 1700-an. Ia disanjungi sebagai Taman Kebun yang terunggul tetapi dimusnahkan pada tahun 1860 semasa Perang Opium Kedua oleh penjajah Inggeris dan Perancis. Anda boleh melawat muzium kecil yang berada di tapak istana ini untuk melihat bagaimana rupa asalnya tempat ini semasa puncak keunggulannya.

18. Makam Dinasti Ming

Ming Dynasty Tombs

Makam Dinasti Ming adalah kumpulan 13 makam Maharaja yang dibina di lembah Gunung Tianshou kerana feng shui yang cemerlang. Dikelilingi oleh bukit-bukit hijau dan sungai yang tenang, hanya tiga makam yang dibuka kepada orang ramai yang memerlukan satu hari penuh untuk menjelajah sepenuhnya. Makam-makam ini boleh dicapai melalui Jalan Suci, laluan sejauh 7 kilometer yang diserikan dengan patung haiwan dan manusia di kedua-dua belahnya. Makam pertama yang akan anda lihat adalah milik Maharaja Mingchengzhu, Maharaja ketiga Dinasti Ming dan Maharaja pertama yang memulakan pembinaan makam. Ini adalah makam yang terbesar dan paling penting, merangkumi 120,000 meter persegi.

19. Teater Liyuan

Liyuan Theater

Teater Liyuan adalah tarikan popular di Beijing untuk menonton persembahan opera tradisional, di dalam teater tertua di Beijing. Opera Peking berasal dari Beijing dan merupakan inti budaya negara ini. Pertunjukan ini mengambil masa kira-kira 70 minit, dan anda akan dapat melihat para pelakon berdandan dengan solekan tebal dan pakaian berwarna-warni yang menarik. Skripnya akan mengandungi banyak nyanyian, disertai dengan muzik tradisional dan aksi akrobatik yang mengujakan.

20. Pasar Antik Panjiayuan

Panjiayuan Antique Market

Pasar Antik Panjiayuan adalah sebuah pasar loak raksasa yang mengkhususkan diri dalam barang antik. Menempati kawasan seluas 48,500 meter persegi, ini adalah pasar terbuka di mana 3,000 penjual dari seluruh China berkumpul untuk mempersembahkan barang antik yang paling jarang dan unik di China kepada anda. Sama ada anda seorang penggemar barang antik atau tidak, anda akan dengan mudah memerlukan satu hari untuk menjelajahi jalan ini sambil menghargai permata tersembunyi yang boleh anda temui di sini seperti lukisan Cina kuno, patung Jed Buddha, tempayan, dan banyak lagi.

Sebagai ibu kota China, ianya memang senang untuk mendapatkan tiket ke Beijing tidak kira di mana anda berada. Tetapi anda dinasihatkan untuk mengunjungi Beijing sebelum bergerak ke bandar China yang lain. Anda boleh memilih untuk menamatkan perjalanan merentasi China dengan Beijing tetapi dengan melihat Beijing terlebih dahulu, anda akan mendapat perspektif dan perbandingan yang lebih baik dengan bandar-bandar yang lain seperti Shanghai dan Guangzhou.